Wednesday 7 December 2011

Penduduk tak berani bersuara


KUALA LUMPUR: “Kami di sini sudah tak tahu nak buat apa mengenai masalah lepak di sini. Jika bersuara, nanti harta benda kami yang jadi taruhan,” kata warga emas, Norliana Abdullah, penduduk Kondo Rakyat di Pantai Dalam, di sini.
Norliana, 55, berkata kebimbangan itu disebabkan budaya melepak yang seakan-akan sudah sebati dengan golongan muda di situ apabila boleh dikatakan setiap hari mereka akan duduk di bawah lima blok di situ tanpa tujuan termasuk melakukan perbuatan tidak bermoral.

“Kalau mereka melepak saja tak apa, tetapi jika sudah sampai tahap mencuri dan merosakkan harta benda awam, itu sudah melampau.
“Mereka juga dengan sesuka hati kencing dan berak dalam lif tanpa memikirkan penduduk lain di sini,” katanya ketika ditemui Harian Metro, semalam.

Dia berkata, kebanyakan orang muda itu sudah terjebak teruk dengan dadah dan gam sehingga menyebabkan mereka berfikir tanpa waras.

Katanya, baru-baru ini, kereta suaminya dihentak menggunakan batu besar disebabkan mereka menegur perbuatan anak muda di situ.
Norliana berkata, kebanyakan penduduk tidak berani bersuara kerana khuatir barangan mereka akan dirosakkan mahu pun dicuri.

Pekerja am yang bekerja sebagai tukang cuci di situ, dikenali sebagai Nora, 65, berkata hampir setiap hari dia akan membersihkan bekas plastik gam yang digunakan ‘kaki lepak’ di situ.
“Mereka suka melepak di semua blok termasuk di tangga dan di pondok berhampiran di sini,” katanya.

Katanya, ada juga botol minuman keras berselerakan di sekitar kawasan kediaman terbabit selain plastik dan bekas gam dibersihkannya setiap hari.

“Perkara ini sudah dimaklumkan kepada badan pengurusan tetapi rasanya mereka juga tidak berani bertindak sebarangan kerana memikirkan kesannya nanti,” katanya.

No comments:

Post a Comment