Tuesday 6 December 2011

Hmetro : Serik melukis secara curi-curi - Graffiti Art

Oleh Nurul Nafisah Mazlan
am@hmetro.com.my    




KUALA LUMPUR: “Pengalaman ditangkap polis semasa sedang sibuk mencurah idea di dinding membuatkan saya serik untuk melukis secara curi-curi lagi,” kata pelukis grafiti sambilan, Abdul Hafiz Abd Rahman, 25, apabila ditanya apakah pengalaman yang mengajar dirinya untuk tidak melukis secara haram lagi.
Menurutnya, sejak mula serius dan bergiat aktif dalam bidang grafiti pada 2004, kini dia bersama kumpulannya sudah tidak takut ditahan pihak berkuasa berikutan setiap kali mahu melakukan aktiviti itu, dia akan meminta izin daripada mereka yang berkenaan seperti pemilik bangunan.

Katanya, sekarang kanak-kanak sekolah juga sudah mula melakukan kegiatan seperti ini kerana mereka ingin mencurahkan bakat tetapi tidak ada saluran yang sesuai untuk diterjemahkan.
“Saya fikir kalau dapat terapkan lukisan jalanan ini dalam salah satu subjek di sekolah mesti budak-budak akan ada masa depan yang lebih cerah sebab idea dan kreativiti melukis bukan dibuat-buat, ia lahir daripada bakat.
“Kasihan juga saya tengok budak sekolah selalu dihalau kerana dianggap melakukan vandalisme dengan menconteng dinding awam tetapi saya yakin mereka ada masa depan dan hanya perlu diberi peluang,” katanya pada majlis Gotong-Royong Grafiti 2011 anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang diadakan di Jalan Alor, di sini, semalam.

No comments:

Post a Comment