Friday 9 December 2011

Harap Pihak Polis Lebih Telus Menyiasat...!!!

Tanda tanya pistol rompak
Oleh Zatul Iffah Zolkiply dan Zaid Salim
am@hmetro.com.my


KUALA TERENGGANU: Polis menjalankan siasatan terperinci terhadap tiga suspek membabitkan dua orang awam dan seorang anggota polis yang ditahan kerana dipercayai terbabit dalam rompakan sebuah kedai emas di Wakaf Tapai, Marang, pada 28 November lalu.

Merujuk kepada berita disiarkan Harian Metro pada 3 November lalu, Ketua Polis Terengganu, Datuk Jamshah Mustapa berkata, siasatan akan turut menjurus kepada persoalan bagaimana pistol yang digunakan dalam rompakan itu boleh berada di tangan anggota polis terbabit.


Menurutnya, tiga suspek terbabit kini direman 14 hari sejak ditahan akhir bulan lalu untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api 1971 (Penalti Lebih Berat) kerana melepaskan tembakan ketika melakukan rompakan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati mandatori.

Bagaimanapun, Jamshah berkata, pistol jenis Revolver .38 itu sebenarnya bukan senjata api yang hendak dilupuskan tetapi ia milik anggota polis yang hilang ketika bertugas pada Pilihan Raya Kecil Penanti, Pulau Pinang pada 2009.


“Pistol itu kemudian ditemui anggota polis yang bertugas di Pusat Latihan Polis (Pulapol), Kuala Lumpur dan menyimpan senjata api berkenaan sebelum dipercayai meminjamkannya kepada anggota polis yang bertugas sebagai mekanik di Ibu Pejabat Polis Daerah Hulu Terengganu untuk tujuan rompakan.


“Sama ada pistol berkenaan dipinjamkan atau disewa kepada anggota terbabit, kita tidak pasti dan siasatan berhubung perkara itu masih dijalankan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2010 Kontinjen Polis Terengganu di sini, semalam.

Jamshah berkata, anggota polis berusia 29 tahun itu yang sudah berkeluarga dan memiliki seorang anak ditahan di rumahnya di Kuala Berang, Hulu Terengganu, dua hari selepas melakukan rompakan itu.


Menurutnya susulan tangkapan itu, pihaknya merampas pistol yang dipercayai digunakan dalam rompakan berkenaan, tiga butir peluru hidup dan barang kemas yang dicuri daripada anggota terbabit.

Sehari sebelum tangkapan anggota polis itu, Jamshah berkata, polis menemui satu motosikal jenis Honda Icon milik seorang suspek yang sebelum ini dilaporkan hilang, pakaian dan beberapa peralatan yang dipercayai digunakan dua suspek kes rompakan berkenaan.


“Semua bahan bukti itu ditemui dalam kebun kelapa sawit di Kampung Pak Bilis, Jalan Tambak, Tanggol, Hulu Terengganu, kira-kira empat kilometer dari tempat kejadian pada jam 4 petang pada hari rompakan,” katanya.


Menurutnya, dua orang awam, masing-masing bekerja sebagai buruh dan tukang masak berusia 26 dan 30 tahun ditahan di sebuah rumah di Jalan Tok Lam di sini, pada 29 November lalu bagi membantu siasatan.


“Kita juga berjaya mendapatkan semula sebahagian barang kemas yang dirompak bernilai RM35,000,” katanya. Beliau berkata, susulan penahanan tiga suspek itu, dua lagi anggota polis yang bertugas di cawangan pengangkutan Pulapol, Kuala Lumpur ditahan dipercayai bersubahat melakukan rompakan itu dengan membekalkan senjata api berkenaan.


Sementara itu, pada majlis APC berkenaan, seramai 329 orang membabitkan 31 pegawai, 253 anggota dan 43 kakitangan awam menerima sijil penghargaan dan wang tunai.


Akhbar ini pada 3 November lalu melaporkan, anggota polis antara empat yang ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan menyewakan senjata api jenis revolver .38 kepada pihak tertentu yang kemudian digunakan untuk melakukan jenayah termasuk rompakan.


Dalam laporan itu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zinin yang dihubungi Harian Metro turut mengesahkan tangkapan berkenaan dan memberitahu siasatan mengenainya masih dijalankan.

No comments:

Post a Comment