Thursday, 8 December 2011

HMetro : ikan Patin RM10,000

Ikan patin RM10,000
Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@hmetro.com.my     

KELANA JAYA: Kejayaan menjinakkan ikan patin seberat 4.925 kilogram membawa tuah kepada Mohamad Mohd Rais, 50, yang berjaya membawa pulang wang tunai RM10,000 serta hamper dan piala selepas menjadi Juara Pertandingan Memancing Kelana Jaya.
Menurut Mohammad, ini adalah kali pertama dia berjaya mendapat tempat pertama selepas banyak kali menyertai pertandingan memancing dan pengalaman dimiliki digunakan sepenuhnya dalam pertandingan itu.

Menurutnya, kepenatan berpanas sepanjang hari tidak dirasai apabila diumumkan sebagai pemenang utama pertandingan itu dan tidak menyangka akan menjadi juara kerana pertandingan itu disertai ramai kaki pancing.

“Memang gembira sangat apabila menjadi juara dan wang yang dimenangi ini akan digunakan untuk perkara berfaedah walaupun saya belum ada sebarang perancangan lagi.

“Tak sangka menang sebab ramai peserta lebih berpengalaman yang menyertai pertandingan ini serta mereka pernah menyertai pertandingan besar dan saya hanya menyertai pertandingan di sekitar negeri ini saja,” katanya.

Bagi pertandingan itu, tempat kedua dimenangi Zaidi Abidin, yang membawa pulang wang tunai RM4,000 berserta hamper manakala tempat ketiga dimenangi Razman Abu Hassan dengan hadiah wang tunai RM2,000 berserta hamper.

Pertandingan yang dianjurkan sempena Pesta Jalanan dan Laman Budaya Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di Taman Perbandaran Kelana Jaya itu disertai 700 kaki pancing.


Hadiah disampaikan Datuk Bandar MBPJ, Datuk Mohamad Roslan Sakiman.

No comments:

Post a Comment