Suspek telan dadah ditembak mati
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki warga Nigeria yang menelan ketulan dadah dan berada di bawah tahanan polis ditembak mati selepas dia mengamuk serta menyerang anggota polis yang mengawasinya di Hospital Kuala Lumpur (HKL), malam kelmarin.
Lelaki berusia 31 tahun itu maut selepas terkena tiga das tembakan sejurus dia menyerang polis dan berlaku pergelutan selama beberapa minit di wad 18, katil 10 hospital itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohamad Salleh, berkata kejadian berlaku jam 9.45 malam itu dan suspek sebelum itu ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) serta dipercayai menelan ketulan dadah untuk menghilangkan bukti.
Menurutnya, suspek tiba di Malaysia pada Khamis lalu sebelum ditahan polis di sebuah hotel di Bukit Bintang, di sini, keesokannya kerana menerima aduan suspek membuat kecoh dan mengganggu orang ramai.
“Polis menjalankan pemeriksaan percaya suspek berada di bawah pengaruh dadah sebelum menahannya pada jam 11.13 pagi (kelmarin). “Suspek dimasukkan ke HKL pada jam 1.40 tengah hari semalam berikutan imbasan X-ray mendapati ada ketulan dadah di dalam ususnya,” katanya.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan dadah jenis syabu dirampas daripada mangsa adalah 46 ketul seberat 831.41 gram bernilai RM300,000.
“Ini termasuk 21 ketulan yang pihak hospital berjaya keluarkan daripada usus mangsa. Manakala 25 ketulan lagi dirampas ketika mangsa ditahan,” katanya.
No comments:
Post a Comment