KUALA TERENGGANU: Seorang remaja berusia 19 tahun dikenakan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret semalam, atas tuduhan memiliki sebilah kerambit.
Majistret Noradila Ab Latif menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd Anuar Salleh, 19, dari Taman Limau, Pengadang Baru yang mengaku bersalah atas tuduhan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki satu senjata berbahaya iaitu sebilah kerambit yang ditakrif mengikut Akta Senjata Berjadual 2(2)(12) di tempat awam iaitu di hadapan Pasar raya Nirwana jam 2.30 pagi, 30 November lalu.
Mengikut fakta kes, tertuduh cuba menikam anggota Cawangan Pencegahan Jenayah (CPJ) Balai Polis Chabang Tiga menggunakan sebilah kerambit ketika berlaku pergelutan antara tertuduh dan anggota CPJ pada 30 November lalu.
Sebelum kejadian, tertuduh menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan dan melarikan diri hampir 10 kilometer dari Jalan Sungai Rengas dan terbabas depan Pasar raya Nirwana.
No comments:
Post a Comment